Sindiket Seludup PATI Guna Jeti Awam di Tawau Didakwa Dilindungi Pegawai Penguatkuasa




TAWAU, 14 Jun 2025 – Isu kemasukan dan penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di daerah Tawau sekali lagi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan apabila kegiatan ini didakwa berlaku secara terbuka melalui jeti awam berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Pejabat Imigresen Tawau.
Menurut aduan yang dikongsi oleh seorang penduduk kepada aktivis tempatan dikenali sebagai ES, sindiket penyeludupan PATI dikatakan bebas menggunakan jeti awam yang asalnya dibina untuk kegunaan masyarakat kampung. Aktiviti haram ini dikatakan mendapat perlindungan daripada pegawai atasan polis termasuk Ketua Polis Balai Tawau, dikenali sebagai Insp Hamka, serta timbalannya Si Amran.
Lebih mengejutkan, beberapa anggota polis seperti Kpl Mazlan dan Kpl Razali turut didakwa ditempatkan secara strategik di kawasan jeti kononnya untuk menjaga keselamatan awam. Namun, menurut sumber aduan, kehadiran mereka sebenarnya untuk memastikan operasi sindiket berjalan lancar tanpa gangguan.
Penduduk kampung yang menyuarakan kebimbangan mereka menyatakan rasa tidak selamat dan memohon campur tangan pihak berkuasa tertinggi agar siasatan segera dijalankan. Mereka turut mempersoalkan ke mana hilangnya peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen yang seolah-olah menutup mata terhadap isu ini.
Selain jeti awam di tengah bandar, satu lagi laluan tikus dikenal pasti di kawasan Tawau Lama (Kg Titingan), yang sering digunakan sindiket bagi menyeludup masuk PATI. Kawasan setinggan ini didakwa turut menerima perlindungan daripada anggota polis yang bertugas di pondok polis Titingan, sekali lagi atas arahan Insp Hamka dan timbalannya.
Pendedahan ini membangkitkan persoalan serius mengenai integriti penguatkuasaan undang-undang di Tawau. Penduduk berharap agar siasatan telus dijalankan dan pihak yang bersubahat dikenakan tindakan tegas demi menjaga kedaulatan negara serta keselamatan komuniti tempatan.